Wednesday, March 18, 2009

Khairy, Khir Terima Dan Hormati Keputusan Lembaga Displin UMNO

www.pemudaumno.org.com


Kuala Lumpur -- Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin berkata, beliau menerima dengan hati terbuka dan menghormati amaran yang diberikan Lembaga Disiplin terhadap dakwaan yang mengaitkannya dengan kesalahan politik wang.
Sambil menegaskan, beliau berpendirian dirinya tetap tidak bersalah dalam kes berkenaan beliau mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Disiplin kerana masih memberikannya peluang untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda hujung bulan ini.
Beliau seterusnya mendakwa ada pihak yang cuba untuk menghalangnya daripada bertanding.
"Ingin ditegaskan sekali lagi saya tidak bersalah terhadap tuduhan yang dilemparkan itu dan saya sudah memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin.
"Sehubungan itu, saya akan mengemukakan rayuan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhubung amaran diberikan kepada saya dalam tempoh terdekat ini," katanya.
Tegas beliau lagi apa yang penting di sini beliau masih lagi boleh bertanding.
"Saya tegaskan saya tidak bersalah dan saya telah menyampaikan pendapat saya ini kepada Lembaga Disiplin.
"Tetapi penilaian Lembaga Disiplin berbeza dan mereka telah buat keputusan. Alhamdulillah saya masih lagi boleh bertanding. Bagi saya itu yang penting," katanya.
Sementara itu, seorang lagi calon Ketua Pemuda, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didapati tidak bersalah pula melahirkan kesyukuran dengan keputusan Lembaga Disiplin.
"Keadilan sudah terbukti dan pengadilan menunjukkan saya tidak bersalah. Segala tuduhan yang dilemparkan terhadap saya selama ini adalah tidak benar sama sekali," katanya.
Beliau seterusnya berkata keputusan Lembaga Displin UMNO juga telah memberikannya semangat baru untuk terus berusaha dan bekerja keras bagi mendapatkan kemenangan pada pemilihan UMNO hujung bulan ini.

No comments:

Post a Comment