http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm
PUTRAJAYA 25 Feb. – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail perlu melepasi dahulu perbicaraan kes liwat yang dihadapi suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum layak ‘dianugerahkan’ oscar atau ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010'.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, isteri Anwar itu sepatutnya mencari peguam-peguam terhebat dan bukti-bukti untuk menangkis hujah semasa perbicaraan kes liwat suaminya.
‘‘Sama ada Wan Azizah layak dianugerahkan ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010' atau mampu terima oscar atau tidak bergantung kepada penilaian yang dibuat oleh rakyat sendiri.
‘‘Namun bagi saya perbuatan beliau memandang hina sistem kehakiman negara dengan membuat telahan bahawa perbicaraan kes liwat suaminya sebagai usaha untuk membunuh karier politik Anwar adalah satu skrip lakonan yang sangat murah harganya dengan jawatan Ketua Pembangkang yang selama ini mempunyai kedudukan yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Rais ditanya mengenai kenyataan Datuk S.Nallakaruppan yang ada menyebut nama beliau, apabila secara sinis mencadangkan pengurniaan anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010' kepada Wan Azizah atas kehebatan ‘lakonannya’ ketika berhadapan dengan rakyat.
Menurut Nallakaruppan, beliau bersedia mengemukakannya kepada Rais untuk dipertimbangkan.
Sebelum itu, Nallakaruppan mengulas kenyataan Wan Azizah dalam sebuah akhbar Australia kelmarin yang menyifatkan perbicaraan kes liwat suaminya merupakan sebahagian daripda usaha untuk menamatkan karier politik Ketua Pembangkang itu.
Rais berkata, sepatutnya Wan Azizah tidak terlalu cepat membuat kenyataan itu kerana ia perbicaraan kes liwat suaminya merupakan soal jenayah di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, ia sama dengan status pendakwaan dan perbicaraan kes rasuah, penipuan dan pembunuhan.
‘‘Dulupun ramai pemimpin dalam kerajaan sendiri menghadapi perbicaraan di bawah undang-undang negara, tanpa helah dan politiking. Antaranya pada 1982 apabila Datuk Mokhtar Hashim dihadapkan ke mahkamah, Datuk Muslim iaitu Exco Kedah serta Tan Sri Kasitah Gaddam begitu juga dan pada era 80-an melibatkan Ketua Menteri Melaka.
‘‘Jadi, kenapa perlu Anwar ‘diistimewakan’. Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kesamarataan di sisi undang-undang,” katanya.
Tegas Rais: ‘‘Sebaik-baiknya kes liwat Anwar tidak didebatkan di luar mahkamah.
‘‘Anwar sendiripun telah lepas dari cengkaman mahkamah pada 2004, apa nak ditakutkan menghadapi perbicaraan, takut kerana salah, berani kerana benar.”