Sunday, January 24, 2010

kekalkan keamanan negara


TEMERLOH – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa golongan ekstremis politik supaya lebih berhati-hati dan meletakkan keamanan negara lebih dari segala-galanya.

Presidennya, Datuk Paduka Ibrahim Ali berkata, tidak ada maknanya politik diperjuangkan jika negara berada dalam kekacauan dan huru-hara.

“Saya menggesa golongan ini supaya tidak terlalu meletakkan kepentingan politik lebih daripada segala-galanya kerana jika keselamatan negara terancam tidak ada pihak untung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Perkasa peringkat negeri yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakub di Dewan Tun Razak di sini, semalam.

Ibrahim berkata, Perkasa turut menggesa kerajaan bertindak tegas ke atas mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kekacauan dan menggugat keselamatan negara.

Beliau berkata, kerajaan jangan tunduk dan tidak terpengaruh dengan politik dalam melaksanakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan keharmonian negara.

“Tidak ada istilah kompromi kepada sesiapa yang cuba gugat keselamatan negara, melainkan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas mereka.

“Kerajaan tidak boleh bertolak ansur kerana jika keselamatan negara tergugat dan terancam, tidak ada pihak untung malah akan menyulitkan lagi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, kerajaan perlu bijak menangani masalah keselamatan negara supaya ia benar-benar terjamin.

Ibrahim juga memohon Perdana Menteri supaya menekankan aspek penyusunan semula masyarakat khususnya Orang Melayu dengan meletakkan 30 peratus bidang ekonomi baru ditentukan dalam perancangan ekonomi yang belum tercapai.

“Ini yang Perkasa memandang serius hak-hak istimewa Orang Melayu yang perlu diberi perhatian serius kerajaan,” katanya.


www.sinarharian.com/

No comments:

Post a Comment